Thursday, November 5, 2009

Nenek

Sejak kecil saya dan adik-adik sangat rapat dengan aruah Tok Tanjung. Setiap cuti sekolah bapa saya akan menghantar kami adik beradik balik ke rumah Tok di Ketemba, Kedah ; sehingga hari terakhir cuti persekolahan. Sepanjang cuti itu kami menikmati sepuas-puasnya keindahan detik-detik hidup bersama Tok di kampung......

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kami adik beradik akhirnya rapat pula dengan Tok Esah. DIA telah mengikat kasih sayang antara kami bila mana Atuk (Tok Esah) telah membawa adik bongsu saya untuk tinggal bersamanya setelah pemergian bonda ke rahmatullah. Hanya Allah SWT jualah yang mampu membalas segala pengorbanan Atuk terhadap kami. Hanya Dia jualah yang mampu membalas pengorbanan Mak Teh , Ariff & Wati serta aruah Adik Mun'im kerana terpaksa berkongsi kasih sayang Atuk dengan kami adik beradik. InsyaAllah kami tidak akan lupa segalanya...

Banyak yang saya belajar tentang kehidupan ini bersama Atuk, terutamanya tentang pengorbanan dan kasih sayang, erti kesabaran dan ketabahan.....




Seperkara yang saya sangat ingat tentang aruah Atuk saya Tok Esah ialah; Atuk tidak pandai membaca dan menulis, tapi dapat membaca al-Quran dan Kitab Perukunan dengan baik . Sepanjang bulan Ramadhan berkali-kali Atuk khatam al-Quran dan kitab Perukunannya. Antara kata-katanya yang seperti menjadi azimat kepada saya : "Selalu orang tanya, tak penat ka dah tua-tua dok kena jaga cucu? ......Alhamdulillah, sejak Atuk jaga anak-anak yatim yang tak dak emak, tak dak ayah, Allah bagi sihat". Saya memang selalu nampak Atuk sentiasa senyum dan tenang. Selalunya bila hari lepas hujan Atuk akan berdiri di tingkap dan memandang ke arah Gunung Jerai. "Seronok tengok gunung tu lepas hujan, nampak bersih!" Semoga Atuk 'di sana' sedang menuai hasil dari benih yang telah beliau tanam sewaktu 'di sini'. AlFatihah.

1 comments:

JanuskieZ said...

Hi... Looking ways to market your blog? try this: http://bit.ly/instantvisitors